MALAYSIA

Polis patuh, buka semula siasatan kes kehilangan Amri Che Mat, Pastor Raymond Koh - Saifuddin

Pia Ernadya 10/11/2025 | 11:41 MYT
Saifuddin Nasution menjelaskan, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kerajaan menanggung komitmen kewangan tertentu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan dua perintah utama yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi berhubung kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.


Ringkasan AI
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjamin bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mematuhi perintah Mahkamah Tinggi berhubung kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh dengan membuka semula siasatan serta membuktikan keberadaan mereka.
  • Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kegagalan melaksanakan arahan mahkamah boleh mengakibatkan kerajaan terpaksa bertanggungjawab secara kewangan, walaupun kes tersebut merupakan 'legasi' daripada pentadbiran terdahulu.
  • Menteri tersebut menegaskan komitmen kementeriannya dalam menyelesaikan kedua-dua kes tersebut, dan sedang berusaha bersama Ketua Polis Negara untuk memenuhi keputusan mahkamah yang memberi arahan kepada pihak polis.


Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara arahan mahkamah yang perlu dipatuhi ialah membuka semula siasatan kes berkenaan serta membuktikan kewujudan serta keberadaan mereka.

Beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kerajaan menanggung komitmen kewangan tertentu.

“Hari Jumaat lepas, saya telah diberi taklimat dan saya jelas tentang fakta-fakta kes tersebut, terutamanya mengenai kronologi insiden.

"Keputusan mahkamah turut mengarahkan PDRM untuk melakukan dua perkara. Yang pertama, membuka kembali siasatan atau meneruskan siasatan..(manakala) yang kedua, mengemukakan kewujudan mereka. Kalau kegagalan membuat demikian, sejumlah komitmen kewangan mesti kerajaan dipertanggungjawabkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia di Putrajaya pada Isnin.

Saifuddin Nasution berkata, meskipun, kedua-dua kes itu merupakan 'legasi' daripada pentadbiran terdahulu, kementeriannya komited untuk melaksanakan keputusan mahkamah dan memastikan kebertanggungjawaban pihak terlibat.

"Fakta itu tidak berubah, ia merupakan legasi yang saya warisi. Tetapi itu bukan alasan. Mulai sekarang, ia berada dalam lingkungan tanggungjawab saya untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kes berkenaan sudah melalui beberapa peringkat proses siasatan dan tindakan undang-undang sebelum beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Katanya, antara langkah terdahulu ialah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mengenal pasti terdapat 'kehilangan paksa' dalam kedua-dua kes, diikuti penubuhan Pasukan Petugas Khas pada 2019 yang turut menghasilkan laporan siasatan sendiri.

“RCI telah pun mengeluarkan laporan mereka. Pasukan Petugas Khas pula menjalankan siasatan dan menyiapkan laporan baharu.

"Isteri kepada Amri kemudiannya memohon untuk mendapatkan laporan itu melalui Mahkamah Tinggi dan mahkamah kemudiannya memutuskan supaya laporan itu diserahkan kepada beliau.

"Waktu itu ada rayuan difailkan oleh pihak Peguam Negara, namun apabila dibentangkan untuk pertimbangan, rayuan tersebut tidak diteruskan di mahkamah lebih tinggi.

“Jadi saya perlu memahami sepenuhnya semua latar belakang dan keputusan terdahulu. Namun fokus utama saya sekarang ialah pelaksanaan keputusan mahkamah yang secara khusus mengarahkan pihak polis (babit) dua perkara itu... itu sedang saya usahakan bersama Ketua Polis Negara,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan serta pihak polis membayar pampasan sebanyak RM37 juta kepada keluarga Raymond atas penglibatan pihak berkuasa dalam penculikannya.

Hakim Su Tiang Joo memutuskan bahawa seorang atau lebih defendan, melibatkan pegawai polis yang masih berkhidmat dan yang telah bersara, terlibat dalam penculikan tersebut serta bertindak mengikut arahan lapan tahun lalu.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri kerana kegagalan menjalankan siasatan sewajarnya berhubung kehilangan aktivis tersebut.

Raymond diculik pada 13 Februari 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, di mana lima lelaki berpakaian hitam dan bertopeng dilaporkan menariknya keluar dari kenderaan.

Sementara itu, Amri yang merupakan pengasas NGO Perlis Hope, dilaporkan keluar dari rumahnya pada 24 November 2016 sekitar jam 11.30 malam. Kenderaannya ditemui keesokan harinya di sebuah tapak pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang, Perlis.

Kedua-dua kes pernah menjadi fokus siasatan awam dan perhatian kumpulan hak asasi, yang terus menuntut jawapan dan pertanggungjawaban pihak berkuasa.

#Amri Che Mat #Pastor Raymond Koh #PDRM #Saifuddin Nasution