MALAYSIA

'Polis perlu bertindak, gurauan melampau juga satu bentuk buli' - Asyraf Wajdi

Sinar Harian 23/09/2025 | 06:15 MYT
Video menunjukkan lima pelajar memegang kaki dan tangan seorang pelajar lain sebelum ‘menghayunkan’ bahagian kelangkangnya ke arah tiang papan tanda. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Polis digesa mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap sekumpulan pelajar di sebuah institusi pengajian yang didakwa melakukan gurauan keterlaluan terhadap seorang rakan mereka.


Ringkasan AI
  • Polis digesa mengambil tindakan segera terhadap sekumpulan pelajar yang didakwa melakukan gurauan melampau terhadap rakan mereka, yang disifatkan sebagai satu bentuk buli oleh Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
  • Beliau menegaskan bahawa perbuatan seperti itu tidak boleh dikompromi dan semua individu terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada masyarakat.
  • Video insiden menunjukkan lima pelajar menghayunkan kelangkang seorang pelajar lain ke arah tiang papan tanda, disaksikan oleh pelajar lain yang hanya ketawa, sementara motif dan tindakan lanjut masih belum diumumkan.


Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa gurauan yang melampaui batas juga boleh dianggap sebagai satu bentuk buli.

Beliau berkata, semua individu yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

"Harap pihak polis dapat segera bertindak. Perbuatan seperti ini tidak boleh sesekali dikompromikan atau didiamkan atas alasan gurauan.

"Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian baru hendak bertindak?" katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama, beliau turut memuat naik video yang menunjukkan lima pelajar memegang kaki dan tangan seorang pelajar lain sebelum dengan sengaja ‘menghayunkan’ bahagian kelangkangnya ke arah tiang papan tanda.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa pelajar lain yang kelihatan hanya menjadi penonton dan ketawa selepas insiden itu berlaku.




#Asyraf Wajdi Dusuki #kes buli #gurauan melampau #video tular