Polis perlu kajian menyeluruh untuk pendekkan tempoh tahanan SOSMA

Astro Awani
November 7, 2019 12:37 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) mendengar penerangan dari Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Jenayah Komersil di Universiti Malaya hari ini. - Foto BERNAMA
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan kajian menyeluruh dalam cadangan untuk memendekkan tempoh reman tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) daripada 28 hari ke 14 hari.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kajian tertentu serta perbincangan lanjut perlu dibuat mengenai perkara itu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh sesuai bagi tahanan reman SOSMA.
"Itu (tempoh reman) baru di peringkat cadangan dan kita perlu lihat selepas ini. Perbincangan dan kajian tertentu perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Jenayah Komersil bertemakan 'Ancaman dan Pendekatan Teknologi Siber 2019' di Universiti Malaya hari ini..
Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ada yang berpandangan tempoh reman 28 hari sekarang terlalu panjang dan perlu disingkatkan.
BACA: Kurang tempoh reman antara pindaan SOSMA - Muhyiddin
Namun, menurutnya, bagi pihak penguatkuasaan seperti polis, mereka mungkin memerlukan lebih masa untuk siasatan, contohnya bagi suspek kes keganasan.
Jelasnya satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk meneliti segala perkara berkaitan SOSMA.
#Mazlan Mansor #Menteri Dalam Negeri #Muhyiddin Yassin #PDRM #Polis Diraja Malaysia #SOSMA #tempoh reman SOSMA #tempoh tahanan SOSMA #Timbalan Ketua Polis Negara