MALAYSIA

Polis potong bekalan elektrik 10 premis judi haram di Kuantan

Bernama 25/09/2025 | 05:30 MYT
Polis akan terus menjalankan risikan terhadap beberapa pusat judi haram yang masih aktif dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras kegiatan perjudian itu. - Gambar fail
KUANTAN: Polis telah memotong bekalan elektrik di 10 premis perniagaan di sini yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam Op Mega Pemotongan Elektrik Premis Perjudian hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata tindakan itu dilaksanakan bersama-sama Tenaga Nasional Berhad di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sebagai langkah susulan selepas premis terbabit pernah diserbu dan didakwa di mahkamah sebelum ini.

"Operasi pemotongan bekalan elektrik ini adalah usaha berterusan untuk mengekang aktiviti perjudian yang menjadi gejala negatif kepada masyarakat serta memberi impak sosial di Kuantan.

"Antara kawasan yang terlibat ialah Semambu, Kempadang, Sungai Soi dan Taman Tas, serta Jalan Tun Ismail di sini," katanya kepada pemberita sejurus selepas polis menyerbu kawasan Semambu.

Beliau berkata pihaknya juga telah menahan 10 orang yang merupakan pekerja dan penyelia premis judi berkenaan selain merampas pelbagai peralatan perjudian termasuk telefon bimbit serta kertas catatan berkaitan judi dalam talian dan loteri haram.

"Kesemua premis terbabit beroperasi di rumah kedai dengan menyamar sebagai perniagaan biasa seperti kedai membaiki telefon bimbit, menjual sabun dan kedai runcit manakala kegiatan perjudian dijalankan di bahagian belakang premis," katanya.

Mohd Adli juga berkata pihaknya akan terus menjalankan risikan terhadap beberapa pusat judi haram yang masih aktif dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras kegiatan perjudian itu.

-- BERNAMA


#Kuantan #premis perjudian #TNB #potong bekalan elektrik