MALAYSIA

Polis rakam keterangan pengasas, pemilik cawangan taska tular

Bernama 23/01/2026 | 07:52 MYT
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengesahkan taska yang tular itu tidak berdaftar sebagai operator taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Polis telah merakam keterangan pengasas dan pemilik cawangan taska yang dipercayai terlibat isu penderaan di taman asuhan kanak-kanak itu, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata pihaknya menerima 17 lagi laporan berkaitan siasatan yang dilakukan, menjadikan jumlah keseluruhan 20 setakat ini.

"Semakan terhadap lesen, sijil kelulusan serta perkara berkaitan sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ramsay memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengesahkan taska yang tular itu tidak berdaftar sebagai operator taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.

Selain itu, siasatan dan pemeriksaan JKM Selangor di tiga cawangan taska itu mendapati premis berada dalam keadaan tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan sewajarnya.

-- BERNAMA


#taska tular #video tular #laporan polis #cawangan taska