Skip to main content

Malaysia

Polis rampas 208 peluru hidup, tahan lelaki dalam serbuan kes dadah di Sitiawan

IPOH, 6 Julai -- Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin (tiga, kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media berkaitan kejayaan tangkapan dan rampasan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Perak hari ini.  Polis merampas 208 butir peluru hidup dan beberapa objek menyerupai senjata api selain menahan seorang lelaki tempatan dalam dua serbuan berkaitan pengedaran dadah di Sitiawan dekat Manjung, Rabu lepas.  Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak DCP
Mohd Alwi (tiga, kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media berkaitan kejayaan tangkapan dan rampasan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di IPK Kontinjen Perak hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

IPOH: Polis merampas 208 butir peluru hidup dan beberapa objek menyerupai senjata api selain menahan seorang lelaki tempatan dalam dua serbuan berkaitan pengedaran dadah di Sitiawan dekat Manjung pada Rabu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak itu turut merampas dadah disyaki jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6,547.

“Serbuan pertama dilakukan di kawasan Taman Terus Maju, Sitiawan apabila polis menahan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu suspek berusia 29 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan tiga paket plastik merah mengandungi bahan disyaki dadah jenis MDMA seberat 66.64 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Kampung Cina, Sitiawan dan menemukan 12 paket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki ketamin seberat 64.30 gram.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah pondok kayu di bahagian belakang rumah berkenaan membawa kepada penemuan satu objek menyerupai pistol, tujuh laras menyerupai senapang, dua laras menyerupai busur silang, 208 butir peluru hidup serta lapan kelongsong peluru.

“Siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak empat bulan lepas dengan menjual sendiri bekalan itu kepada pengguna, malah rampasan itu dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 100 penagih,” katanya.

Mohd Alwi berkata ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin, namun semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Beliau berkata polis turut menyita wang tunai RM720 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM7,267.

Suspek direman selama enam hari bermula 2 Julai hingga hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8A Akta Senjata Api 1960.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement