MALAYSIA
Polis rampas 351 pistol tiruan, disimpan, dijual tanpa lesen di Melaka

Dzulkhairi (tiga dari kiri) menunjukkan pistol tiruan jenis 'airsoft gun' yang dirampas darj sebuah kedai menjual permainan pada Selasa. - Gambar/ Sinar Harian
MELAKA: Polis Melaka merampas 351 pistol tiruan bernilai lebih RM105,000 dalam serbuan di sebuah stor kedai menjual alat mainan di Taman Teknologi Cheng di sini semalam.
Ringkasan AI
- Polis Melaka merampas 351 pistol tiruan bernilai lebih RM105,000 dalam serbuan di sebuah stor kedai alat mainan di Taman Teknologi Cheng, dan menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menjaga premis tersebut.
- Pistol jenis 'airsoft gun' itu dirampas kerana menyerupai senjata sebenar dan dijual tanpa lesen sah; ia boleh mendatangkan kecederaan serta disalah guna untuk jenayah seperti samun dan ugutan.
- Siasatan awal mendapati pistol dibawa masuk melalui sempadan utara dan dijual di Melaka secara bersemuka atau dalam talian pada harga RM200 hingga RM300, memberi keuntungan besar kepada peniaga.
"Premis berkenaan sebelum ini mempunyai lesen penjualan senjata tiruan tetapi ia tidak diperbaharui menyebabkan pihak polis melakukan pemeriksaan ke atas premis itu. Kami menemukan senjata menyerupai pistol sebenar yang tidak dibenarkan dijual, disimpan dalam stor berkenaan.
"Polis tidak akan mengeluarkan lesen untuk penjualan pistol mainan menyerupai pistol sebenar kerana pembeli dikhuatiri menyalahgunakan senjata itu untuk melakukan jenayah samun dan melakukan pemerasan atau ugutan jenayah," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata pistol mainan itu turut dijual bersama peluru 'airsoft gun' dalam bentuk biji, namun ia boleh mendatangkan kecederaan jika disalah guna.
Beliau berkata walaupun setakat ini polis tidak mengesan sebarang kes jenayah yang disyaki menggunakan pistol mainan menyerupai pistol sebenar seperti yang dirampas, pihaknya komited mengekang penjualan berkenaan sebagai langkah awal mengekang lambakan penjualan senjata dalam pasaran tempatan, sekali gus penyalahgunaan senjata itu.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati pistol berkenaan dibawa masuk melalui pintu sempadan di utara tanah air untuk dijual di sekitar Melaka secara bersemuka atau dalam talian pada harga antara RM200 hingga RM300.
Beliau berkata setiap pistol pula didapati dibeli pada harga sekitar RM20 hingga RM30 dan penjualan itu memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peniaga.
"Polis sedang mengesan pemilik perniagaan berkenaan untuk siasatan lanjut termasuk lokasi bekalan diperoleh," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami