Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Polis rampas ganja bernilai RM5.9 juta, tujuh individu ditahan

Bernama 13/10/2025 | 10:15 MYT
Hussein pada sidang media mengenai kejayaan JSJN dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja di sekitar negeri Selangor bernilai RM5.9 juta hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Polis percaya telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas dadah jenis bunga dan daun ganja seberat 173.14 kilogram (kg) bernilai RM5.9 juta, dalam empat serbuan berasingan pada 3 dan 5 Okt.


Ringkasan AI
  • Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 173.14kg ganja bernilai RM5.9 juta dalam empat serbuan berasingan di Lembah Klang pada 3 dan 5 Oktober.
  • Lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 25 hingga 41 tahun ditahan, bersama dua kenderaan disita bernilai RM129,000; empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
  • Sindiket dipercayai aktif sejak awal September dan menyasarkan pasaran tempatan serta Eropah; kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata polis turut menahan lima lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun, serta merampas dua buah kenderaan dengan nilai sitaan berjumlah berjumlah RM129,000.

Beliau berkata dua lelaki dan seorang perempuan ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di sekitar Subang Jaya, sebelum pemeriksaan di premis itu menemukan 115 bungkusan plastik berisi dadah disyaki bunga ganja seberat 112.23kg serta 43 paket plastik berisi ketulan ganja seberat 4.72kg.

"Serbuan kedua di tepi jalan sekitar Petaling Jaya pula membawa kepada penahanan dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Alza bersama 12 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 12.52kg.

"Suspek berikutnya iaitu seorang lelaki dan wanita telah ditahan dalam serbuan ketiga di sebuah hotel sekitar Selayang, sebelum pemeriksaan di dalam bilik berkenan menemukan dua bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 2.1kg," katanya pada sidang media di sini hari in.

Hussein berkata tangkapan di Selayang membawa kepada rampasan 40 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 41.56kg, yang disimpan di dalam kereta jenis Toyota Vios di kawasan parkir sebuah kondominium di Petaling Jaya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket yang dikesan bergiat aktif sejak awal September lepas itu, dipercayai menjadikan Lembah Klang sebagai lokasi pengedaran selain pasaran luar negara terutamanya negara eropah, menggunakan mata wang Euro.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan negatif daripada sebarang jenis dadah, namun empat daripadanya masing-masing memiliki 18, lapan, enam dan tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Hussein berkata kesemua suspek warga tempatan itu masing-masing ditahan reman antara 4 hingga 19 Okt dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA



#sindiket pengedaran dadah tumpas #bunga dan daun ganja #Subang Jaya #Hussein Omar Khan #Petaling Jaya