Polis rekod keterangan Anwar Ibrahim

Umavathi Ramayah
Februari 26, 2021 15:25 MYT
Huzir Mohamed berkata, siasatan ke atas Anwar itu adalah berhubung kenyataan bersama bertarikh 12 Januari lalu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Polis merakam keterangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung siasatan terhadap kenyataan bersama yang dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan, pada bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI berkata, keterangan daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu diambil di ibu pejabat PKR oleh Pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, petang Jumaat.
Beliau memberitahu, siasatan itu adalah berhubung kenyataan bersama bertarikh 12 Januari 2021 yang oleh Anwar, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
"Siasatan ke atas beliau dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998," katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut Huzir memberitahu, mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, jika disabit bersalah, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara bagi Seksyen 233 AKMM pula katanya, memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam kenyataan bersama itu, PH menolak keputusan kerajaaan mengisytiharkan darurat di seluruh negara serta alasan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari ancaman COVID-19.
#Anwar Ibrahim #Pakatan Harapan #Muhyiddin Yassin #Polis Diraja Malaysia #Bukit Aman #Kenyataan Bersama #perintah darurat #rekod keterangan