Polis Sabah masih menyiasat laporan yang dikeluarkan oleh media Filipina berhubung dakwaan empat warga Malaysia telah diculik oleh sekumpulan lelaki ke kepulauan Sulu di negara itu.

"Belum ada laporan mengenai empat warga Malaysia yang dikatakan diculik, pihak kami masih menyiasat laporan yang dikeluarkan oleh media Filipina itu dan dakwaan Ketua Polis Tawi-Tawi," kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang menunggu kesahihan daripada pihak berkuasa Filipina berhubung kejadian itu seperti dilaporkan oleh media negara itu.

"Ketua Polis Negara juga telah memaklumkan perkara ini masih tidak dapat disahkan dan setakat ini, polis negeri Sabah juga tidak menerima sebarang laporan mengenai ada kes penculikan oleh kumpulan pengganas di kawasan perairan Sabah atau dari mana-mana pihak ahli keluarga yang terlibat (sekiranya ada)," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan lembu dan kuih raya sempena Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini.

Sebuah laporan berita Filipina memetik Ketua Polis Tawi-Tawi, Joselito Salido sebagai berkata sekumpulan suspek tidak dikenali didakwa membawa tebusan rakyat Malaysia itu ke pantai Sitankai, Tawi-Tawi sebelum memindahkan mereka ke Sulu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan twitternya hari ini berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina mengenai perkara itu.

Laporan mengenai penculikan terbaharu ini timbul seminggu selepas pembebasan empat mangsa culik dari Sarawak yang ditawan lebih dua bulan oleh kumpulan militan tersebut.