Polis Sabah siap siaga hadapi PRN Sabah ke-17

Polis Kontinjen Sabah bersiap siaga sepenuhnya bagi mengawal keselamatan dan memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang dijadual berlangsung bulan depan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah bersiap siaga sepenuhnya bagi mengawal keselamatan dan memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang dijadual berlangsung bulan depan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.
Ringkasan AI
- Polis Sabah bersiap siaga sepenuhnya menghadapi PRN Sabah ke-17 bulan depan dengan 8,900 pegawai dan anggota termasuk bantuan dari Sarawak dan Bukit Aman.
- Persiapan meliputi keselamatan awam, logistik, penghantaran bahan pilihan raya ke kawasan pedalaman serta kesiapsiagaan menghadapi cuaca monsun.
- Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menasihati semua pihak agar mematuhi peraturan dan mengelak provokasi bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan aman.
"Semua keperluan logistik, pengangkutan dan penyelarasan penugasan sedang berjalan dengan baik.
"Kita juga sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta agensi berkaitan bagi menyelaras peranan masing-masing sepanjang tempoh pilihan raya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN17 Sabah, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.
Jauteh berkata perancangan turut mengambil kira operasi keselamatan dan penghantaran bahan pilihan raya ke kawasan pedalaman serta pulau bagi mengelak sebarang gangguan, termasuk faktor cuaca buruk.
Beliau berkata persediaan itu juga mengambil kira musim Monsun Timur Laut dengan polis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan perjalanan pilihan raya.
"Penugasan pasukan bukan hanya tertumpu kepada kawalan keselamatan di pusat mengundi, tetapi turut meliputi pengurusan bencana atau kejadian tidak dijangka sepanjang tempoh PRN," katanya.
Beliau berkata tahap keselamatan di seluruh Sabah ketika ini berada dalam keadaan baik dan terkawal.
Sehubungan itu, Jauteh mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan sepanjang tempoh pilihan raya serta mengelak sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
"Polis komited memastikan proses demokrasi berjalan dengan suasana aman dan lancar. Semua agensi keselamatan bekerjasama rapat bagi menjamin keselamatan rakyat serta kelancaran pilihan raya negeri di Sabah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami