MALAYSIA

Polis Sabah tahan tiga lelaki, rampas dadah lebih RM1 juta

Bernama 02/09/2025 | 13:00 MYT
Jauteh berkata ketiga-tiga lelaki itu direman hingga 5 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 41.63 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.3 juta dalam dua serbuan di Ranau dan Telupid pada 28 Ogos.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata dalam serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Jalan Ranau Poring pada 8.15 pagi, sebanyak 20 bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah ditemukan ketika memeriksa sebuah kenderaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan yang diletakkan dalam sebuah bagasi berwarna hitam itu mengandungi 21.3 kg dadah jenis syabu bernilai RM681,600 dengan seorang lelaki berusia 31 tahun turut ditahan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata serbuan seterusnya dilakukan ke atas sebuah kenderaan di pekarangan masjid di Telupid pada 9.20 pagi dan menemukan sebuah bagasi mengandungi 20 bungkusan plastik berisi 20.33 kg dadah jenis syabu bernilai RM650,560.

"Dua lelaki berusia 21 dan 24 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan berperanan sebagai penghantar kepada seorang pembekal dadah untuk membawa bahan terlarang itu dari Kota Kinabalu ke pantai timur Sabah dan mereka mengaku terlibat sejak awal Februari lepas.

"Kita percaya dadah ini dibawa masuk dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier untuk dibawa ke pantai timur Sabah. Seorang daripada suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah," katanya.

Jauteh berkata ketiga-tiga lelaki itu direman hingga 5 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata semua dadah yang dirampas dalam dua serbuan berkenaan boleh digunakan kira-kira 160,000 penagih.

-- BERNAMA




#Dadah #kesalahan lampau #bungkusan plastik #Perkhidmatan Kurier