SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Polis sahkah dua pelajar maut jatuh kondominium, siasat dakwaan buli

Bernama 22/08/2025 | 15:15 MYT
Fadil berkata dalam insiden pertama pada 6.48 pagi, seorang pelajar wanita berusia 22 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 dan ditemukan di tingkat lapan kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengesahkan dua insiden melibatkan pelajar institut pendidikan tinggi swasta di Setapak yang terjatuh dari sebuah kondominium di Persiaran Pertahanan, Taman Melati di sini pada Rabu lepas.

Beliau berkata dalam insiden pertama pada 6.48 pagi, seorang pelajar wanita berusia 22 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 dan ditemukan di tingkat lapan kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia.

"Bedah siasat mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi... pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Pada 1.57 tengah hari, ibu mangsa yang berusia 53 tahun hadir membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kejadian itu dan mendakwa anaknya menjadi mangsa buli... ," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata dalam insiden kedua pada 9.35 malam, seorang lelaki berumur 21 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 35 blok dan ditemukan di bahagian belakang kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi dan tiada unsur jenayah dikesan... kes turut diklasifikasikan sebagai SDR," katanya sambil menambah siasatan mendedahkan kedua-dua mangsa belajar di kolej swasta yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


#bedah siasat #mangsa buli