Polis sahkan terima laporan pembantu rumah didera bekas ahli politik

Bernama
September 4, 2023 13:52 MYT
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan polis daripada pembantu rumah berusia 54 tahun itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 4.16 petang 22 Ogos lepas. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu kes pembantu rumah warga Indonesia mendakwa didera majikannya yang merupakan bekas ahli politik.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan polis daripada pembantu rumah berusia 54 tahun itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 4.16 petang 22 Ogos lepas.
"Bersabit dengan laporan polis yang telah dibuat, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan tindakan susulan akan dilaksanakan bagi melengkapkan kertas siasatan untuk mendapatkan pertuduhan ke atas suspek yang juga seorang ahli perniagaan.
-- BERNAMA
#pembantu rumah didera #bekas ahli politik #Polis Selangor #warga Indonesia