Polis sahkan tiada bom dijumpai di Bursa Malaysia, ancaman adalah palsu

Astro Awani
September 30, 2016 08:50 MYT
Orang awam diminta untuk mengosongkan bangunan Bursa Malaysia selepas menerima panggilan mengenai ancaman bom pada kira-kira 12.01 petang. - Gambar Astro AWANI
SUASANA kembali tenang di bangunan Bursa Malaysia selepas pihak polis mengesahkan tiada bom dijumpai dan ancaman yang diterima palsu.
Pada jam 4 petang, polis mengesahkan tidak menjumpai apa-apa objek yang menyerupai bom selepas pemeriksaan dijalankan selama lebih dua jam.
BACA: LAPOR LANGSUNG Tiada bom ditemui, polis sahkan ancaman palsu di kompleks Bursa Malaysia
Skuad unit bom dan unit K-9 bersama anjing pengesan tiba di lokasi pada kira-kira 1.20 tengahari untuk melakukan pemeriksaan di bangunan Bursa Malaysia dan kawasan berhampiran.
Orang awam dibenarkan untuk memasuki semula bangunan Bursa Malaysia sekitar jam 3.30 petang selepas mendapat kebenaran dari pihak polis.
Dalam insiden hari ini, pihak pengurusan Bursa Malaysia mendapat panggilan tentang ancaman bom dan akan diletupkan selepas umat Islam menunaikan solat Jumaat sekitar jam 12.01 tengah hari.
Pihak pengurusan menghubungi pihak penguatkuasa sebelum mengarahkan orang awam untuk mengosongkan bangunan.
#ancaman bom #Bursa Malaysia #K-9 #polis #Tajuddin Atan