Polis sahkan tiada NGO di Johor terlibat kongsi gelap

Bernama
Februari 8, 2023 09:21 MYT
Kamarul Zaman berkata pihaknya akan terus memantau dan menjalin kerjasama dengan NGO berdaftar bagi mengekang kegiatan berkenaan. - Fail/BERNAMA
KULAI: Polis Johor mengesahkan tiada badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.
Bagaimanapun, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya akan terus memantau dan menjalin kerjasama dengan NGO berdaftar bagi mengekang kegiatan berkenaan.
"Buat masa ini tiada kumpulan kongsi gelap atau gengsterisme yang terlibat dengan NGO.
"Memang kita ada senarai kumpulan kongsi gelap yang aktif di negeri ini, namun kita masih dapat kawal dan sentiasa memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang insiden jenayah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Balai Polis Kelapa Sawit di sini yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Abd Jalil baru-baru ini mendedahkan terdapat kegiatan kongsi gelap yang berselindung di sebalik nama pelbagai NGO dengan melakukan kerja amal dan menampilkan imej baik di mata masyarakat.
-- BERNAMA
#polis johor #kongsi gelap #NGO #Kamarul Zaman Mamat