Polis Sandakan terima tiga laporan, buka dua kertas siasatan

Bernama
Mei 1, 2019 05:27 MYT
Parlimen Sandakan bakal diadakan pilihan raya kecil ekoran penyandangnya Stephen Wong meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas. - Reuters
Polis menerima tiga laporan dan membuka dua kertas siasatan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan setakat ini sejak tempoh berkempen bermula pada 27 April lepas.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Sebanyak 65 permit telah dikeluarkan kepada calon yang bertanding untuk mengadakan ceramah umum," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Rabu.
Mohd Azhar juga turut menasihatkan kepada setiap calon supaya mematuhi peraturan dan undang-undang serta syarat dalam permit yang telah diluluskan.
"Berkempenlah secara matang dan profesional jangan melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat seperti menghasut, melakukan khianat terhadap bahan-bahan kempen," katanya.
Buat masa ini lebih 1,000 anggota telah ditempatkan untuk memastikan proses PRK berjalan lancar dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.
PRK Sandakan diadakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.
-- BERNAMA
#ACP Mohd Azhar Hamin #ceramah umum #kempen politik #kertas siasatan #ketua polis daerah sandakan #pilihan raya kecil #Politik Malaysia #PRK #PRK Sandakan #salah laku #tempoh kempen