[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Polis Sarawak rampas 34 kg dadah bernilai RM1.14 juta

Bernama 10/09/2025 | 07:00 MYT
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati. - Gambar hiasan
KUCHING: Polis Sarawak berjaya merampas dadah pelbagai jenis seberat 34 kilogram (kg) bernilai RM1.14 juta dalam dua serbuan berasingan di Sibu dan Bintulu minggu lepas.


Ringkasan AI
  • Polis Sarawak merampas dadah pelbagai jenis seberat 34 kg bernilai RM1.14 juta dalam dua serbuan berasingan di Sibu dan Bintulu, termasuk rampasan syabu, ekstasi, MDMA, Erimin 5 dan ketamin.
  • Empat suspek ditahan termasuk dua lelaki dan dua wanita, dengan rampasan harta seperti kereta mewah, wang tunai dan barang kemas; sindiket dipercayai aktif sejak pertengahan 2024 dan menggunakan aplikasi WeChat serta bas ekspres untuk penghantaran.
  • Sebahagian dadah dirampas di Bintulu dipercayai dihantar dari Semenanjung Malaysia melalui kargo udara; kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.


Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata dalam serbuan pada 3 Sept lepas di sebuah rumah di Jalan Lilin, Sibu, pihaknya merampas dadah bernilai kira-kira RM480,000 serta menyita harta milik suspek bernilai lebih RM380,000.

"Hasil risikan membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan rampasan 100 biji pil dipercayai ekstasi seberat 0.219 kg. Turut ditahan seorang wanita berusia 33 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil maklumat lanjut, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Lorong Ulu Sungai Merah, Sibu dan merampas dadah disyaki 'methylenedioxymethamphetamine' (MDMA) seberat 14.373 kg, Erimin 5 (0.126 kg) serta ketamin (0.149 kg).

"Tidak lama selepas itu, seorang lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 27 tahun yang menaiki motosikal di kawasan sama ditahan dengan rampasan syabu seberat 2.168 kg.

Saifullizan berkata polis turut menyita pelbagai harta milik suspek termasuk sebuah kereta Lexus RX 350, Perodua Axia, wang tunai RM34,796 serta barang kemas.

"Sindiket ini telah aktif sejak pertengahan 2024 dengan mendapatkan bekalan dari Miri melalui aplikasi WeChat, sebelum dihantar ke Sibu menggunakan perkhidmatan bas ekspres dan disimpan di rumah kediaman.

"Saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah manakala dua lagi negatif. Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dua lelaki kini direman tujuh hari mulai 5 hingga 11 Sept manakala dua wanita direman lapan hari secara berperingkat hingga 12 Sept," katanya.

Selain itu, beliau berkata polis berjaya merampas 17 kg syabu bernilai RM663,000 yang ditemui dalam sebuah kotak produk makanan berlabel 'coconut sugar' di sebuah premis di Jalan Tanjung Batu, Bintulu pada 2 Sept.

"Dadah berkenaan dipercayai dikirim dari Semenanjung Malaysia menggunakan kargo udara. Polis masih mengesan dalang sindiket berkenaan dan bekerjasama rapat dengan syarikat kurier serta perkhidmatan kargo bagi memperkukuh kawalan," katanya.

Beliau berkata kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

-- BERNAMA


#Sarawak #rampasan dadah #Bintulu #Sibu