Polis Sarawak melakar satu lagi kejayaan dalam usahanya membanteras aktiviti perjudian di negeri ini apabila menahan 82 lagi individu minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Datuk Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam berkata penahanan itu dibuat dalam 29 serbuan yang dijalankan oleh JSJ daerah dan negeri terhadap loteri haram, perjudian dalam talian dan sabung ayam antara 31 Okt dan semalam.

Beliau berkata wang tunai berjumlah RM16,277 turut dirampas dalam serbuan itu serta pelbagai barangan seperti 72 buah komputer, tablet dan mesin ikan.

"Mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 76 tahun, 69 orang daripada mereka merupakan lelaki. Seorang wanita warga asing juga adalah antara mereka yang ditahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bulan lepas, polis Sarawak menahan 84 orang kerana mempromosikan loteri awam tanpa lesen, menjalankan perjudian haram, mengendalikan mesin judi dan berjudi di tempat awam dalam 42 serbuan di seluruh negeri antara 3 dan 10 Okt. - Bernama