GEORGE TOWN: Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditahan pada Rabu lepas bagi membantu siasatan kes pemerasan sebuah kilang memproses sisa elektronik di Tasik Gelugor, dekat sini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata siasatan masih dijalankan dan pihaknya ketika ini sedang mengumpul keterangan lanjut serta risikan sebelum menentukan tindakan seterusnya.
"Fakta kes ada tetapi kita masih mengumpul risikan dan keterangan.
“Kita juga tidak mahu mendedahkan maklumat terlalu awal kerana boleh menjejaskan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai orang tengah didakwa menghampiri mangsa iaitu pemilik kilang e-sisa terbabit selepas serbuan penguatkuasaan dijalankan ke atas kilang itu.
Polis memulakan siasatan berdasarkan laporan tersebut hingga membawa penahanan sekumpulan anggota PGA termasuk orang tengah bagi membantu siasatan, katanya.
Lim berkata kesemuanya dipercayai merupakan sebahagian daripada pasukan yang sama dalam operasi serbuan itu.
Beliau berkata bagi siasatan itu, polis turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana melibatkan sebuah premis pemprosesan sisa elektronik.
Mengenai jumlah wang yang didakwa terbabit, beliau berkata laporan polis awal menyatakan sebanyak RM60,000 namun siasatan awal mendapati jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi.
"Kami berhati-hati untuk mendedahkan butiran ketika siasatan masih berjalan bagi mengelak daripada menjejaskan siasatan atau berlakunya percanggahan dengan bukti yang mungkin dikemukakan di mahkamah," katanya.
Sebelum ini, sebanyak 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan pada 19 Ogos bagi membantu siasatan kes pemerasan sebuah kilang memproses sisa elektronik.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman Datuk Muhammad Abdul Halim berkata kesemua anggota terbabit bertugas di Batalion 2 PGA, Kulim, Kedah.
Beliau berkata mereka yang ditahan berumur 30-an hingga 40-an terdiri daripada pelbagai pangkat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA