[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Polis sekat pergerakan sami didakwa cabul pelakon di semua pintu masuk

Umavathi Ramayah 12/07/2025 | 10:45 MYT
Norhizam berkata, tindakan segera itu diambil bagi mengelakkan suspek daripada melarikan diri ke luar negara. - Gambar fail/Bernama
SEPANG: Polis menyekat pergerakan seorang sami warga India yang disyaki mencabul seorang pelakon tempatan dalam kejadian sebuah kuil di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini baru-baru ini, di semua pintu masuk.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tindakan segera itu diambil bagi mengelakkan suspek daripada melarikan diri ke luar negara.

"Hasil semakan mendapati suspek masih berada di dalam negara dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan, di sini pada Sabtu.

Menurut Norhizam , setakat ini polis sudah merakam keterangan daripada sembilan individu termasuk pihak pengurusan kuil terbabit bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Insiden itu mula tular sejak Isnin lalu selepas mangsa, seorang pelakon berusia 27 tahun, mendedahkan pengalamannya menerusi akaun Instagram miliknya.

Mangsa mendakwa kejadian berlaku pada 21 Jun lalu ketika dia berkunjung ke kuil berkenaan seorang diri kerana ibunya berada di India ketika itu.

Menurutnya, dia diajak suspek masuk ke pejabat kuil sebelum lelaki itu merenjiskan air sembahyang ke wajahnya yang didakwa bertujuan untuk penyucian diri dan bertindak mencabulnya.

Suspek merupakan sami sementara yang menggantikan sami tetap kuil berkenaan yang kini berada di luar negara.



#pelakon dicabul #Polis Diraja Malaysia #dicabul sami #viral #terkini