Polis menahan lima suspek termasuk sepasang suami isteri dan menyelamatkan seorang mangsa culik di sebuah restoran berhampiran Flat Danau Kota di Jalan Genting Klang di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata mangsa, seorang lelaki berusia 23 tahun, dilaporkan diculik di satu lokasi di Jalan Genting Klang di sini, pada pagi Selasa lepas.

"Ketika diselamatkan pada 9.20 malam tadi, mangsa dalam keadaan menggigil ketakutan. Pemeriksaan lanjut mendapati tangan kanannya ditoreh dengan pisau manakala sebahagian jari kaki kanannya turut dikerat," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja diculik, salah seorang suspek menghubungi adik tiri mangsa berusia 22 tahun pada pukul 9.30 pagi pada hari kejadian dengan menuntut menyerahkan wang RM3,000 sekiranya mangsa tidak mahu dicedera.

Berikutan panggilan telefon itu, Ku berkata adik tiri mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Setapak dan pihak polis menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyelamatkan mangsa.

Beliau berkata polis berjaya menahan tiga suspek berusia 22, 27 dan 31 tahun ketika bersama mangsa di sebuah restoran sebelum menahan sepasang suami isteri berusia 28 dan 22 tahun dalam serbuan di sebuah bilik di Jalan Pahang di sini.

Beliau berkata mangsa dipercayai dikurung di bilik itu sebelum ini.

"Polis turut menemui sebilah parang dan pisau pemotong daging masing-masing berukuran 49sm dan 30sm di dua lokasi tangkapan itu," kata Ku sambil menjelaskan motif penculikan dipercayai ada kaitan dengan masalah hutang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961, katanya.