MALAYSIA

Polis Selangor sangkal dakwaan jual, lepas semula dadah dirampas ke pasaran

Bernama 14/11/2025 | 12:45 MYT
Shazeli (tiga kiri) pada sidang media pelupusan barang kes dadah dan kertas siasatan JSJN Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Polis Selangor menyangkal dakwaan tidak berasas kononnya menjual semula atau melepaskan dadah dirampas ke pasaran.


Ringkasan AI
  • Polis Selangor menafikan dakwaan menjual semula dadah dirampas ke pasaran, menegaskan prosedur pelupusan dadah dilakukan dengan teliti dan berintegriti.
  • Sebanyak 596.2kg dadah dan 2,744 liter campuran dadah dilupuskan oleh pihak polis Selangor bagi tempoh 2022 hingga 2025, dengan nilai keseluruhan RM10.3 juta.
  • Polis Selangor telah membuka 30,214 kertas siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 serta telah menahan 102 individu terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.


Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dakwaan seumpama itu boleh menjejaskan imej pihak berkuasa yang sentiasa komited memerangi dadah.

"Sebagaimana diketahui umum, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor melaksanakan pelupusan barang kes dadah setiap tahun mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan bagi kes yang selesai di mahkamah.

"Semua dadah dirampas diuruskan dengan penuh ketelitian, bertanggungjawab dan integriti berlandaskan kepada prosedur siasatan serta peruntukan undang-undang sedia ada," katanya pada sidang media pelupusan barang kes dadah dan kertas siasatan JSJN Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata setiap gram dadah dirampas direkodkan dan akan dipersoalkan semasa proses perbicaraan di mahkamah.

Shazeli berkata komitmen memerangi dadah dibuktikan dengan pihaknya melupuskan sebanyak 596.2 kilogram (kg) dan 2,744 liter campuran dadah yang telah selesai kes mahkamah bagi tempoh 2022 hingga 2025.

"Dadah dilupuskan meliputi ganja, syabu, serbuk ekstasi, daun ketum, MDMA, heroin, serbuk disyaki dadah, erimin 5, ketamin, pil ekstasi, cecair disyaki dadah, air ketum dan kodein, dengan nilai keseluruhan RM10.3 juta.

"Selain itu, sebanyak 12,178 kertas siasatan berkaitan dadah bagi tempoh 1995 hingga 2019 turut dilupuskan sebagai langkah pengurusan rekod yang lebih teratur dan patuh," katanya.

Beliau berkata kesemua dadah akan dihantar ke tapak pelupusan dadah melalui syarikat yang dilantik oleh kerajaan iaitu Cenviro Sdn Bhd bertempat di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Shazeli berkata untuk tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, polis Selangor telah membuka 30,214 kertas siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dengan jumlah tangkapan 34,010 orang.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 775 individu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.

"Polis juga melaksanakan tindakan pencegahan mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 iaitu dengan menahan 102 orang yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah sepanjang tahun ini.

"Bagi kesalahan penagih dadah berulang, 983 orang dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) hukuman mengikut Seksyen 39C (1) ADB 1952," katanya.

Shazeli berkata dalam usaha melumpuhkan rangkaian sindiket dadah secara habis-habisan, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai jenis aset serta sumber kewangan yang dianggarkan berlilai RM18.32 juta.

-- BERNAMA


#daun ketum #integriti #Ketamin #sumber kewangan