NATIONAL
Polis Selangor siasat kes penipuan pertukaran mata wang asing RM5.5 juta
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, nilai kerugian sekitar RM5.5 juta, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes penipuan tukaran mata wang asing, melibatkan seorang pengarah syarikat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, nilai kerugian kes tersebut dianggarkan sekitar RM5.5 juta, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hussein berkata, siasatan awal mendapati mangsa kes mengenali pengarah syarikat tersebut yang berasal dari Miri, Sarawak.
Mangsa itu kemudian membuat pertukaran mata wang asing beberapa kali dengan individu tersebut bagi tujuan pembayaran gaji, dan urusan syarikat mangsa di Vietnam.
Pada penghujung Mac 2025, Hussein berkata, mangsa telah melakukan pertukaran mata wang asing dengan jumlah wang yang besar, iaitu RM6.5 juta, namun jumlah mata wang Vietnam yang diterima bernilai RM900,000 sahaja.
“Mangsa telah diminta membuat 15 transaksi bayaran ke tujuh akaun bank yang berbeza, sehingga mencecah RM6.5 juta.
Hussein berkata, mangsa hanya sedar telah diperdaya apabila suspek memberi pelbagai alasan mengelak daripada membayar baki pertukaran mata wang asing tersebut.
Susulan itu, beliau memberi peringatan kepada masyarakat umum supaya lebih berwaspada terhadap sebarang urusan pertukaran mata wang asing yang tidak sah.
Hussein turut menasihatkan agar proses transaksi dilakukan dengan syarikat pertukaran mata wang asing yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM).