MALAYSIA
Polis Selangor terima 101 laporan kes penipuan pelaburan mesin layan diri kopi, kerugian RM6.7 juta
olis menasihatkan mangsa untuk mengambil tindakan saman sivil bagi mencabar pelanggaran kontrak dengan syarikat pelaburan tersebut. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Polis Selangor menerima sebanyak 101 laporan kes penipuan pelaburan mesin layan diri kopi, dengan jumlah kerugian RM6.7 juta dalam tempoh Januari hingga April lepas.
Ringkasan AI
- Kerugian besar akibat penipuan: Sebanyak 101 laporan telah diterima oleh polis Selangor, dengan jumlah kerugian mencecah RM6.7 juta dalam tempoh Januari hingga April 2025.
- Modus operandi penipuan: Mangsa tertarik dengan janji pulangan lumayan dan membuat bayaran ke akaun suspek. Pada awalnya, mereka menerima sedikit keuntungan, tetapi akhirnya pulangan tersebut terhenti.
- Nasihat pihak berkuasa: Polis menasihatkan mangsa untuk mengambil tindakan saman sivil bagi mencabar pelanggaran kontrak dengan syarikat pelaburan tersebut.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati mangsa telah diberi penerangan dan representasi mengenai pelaburan mesin layan diri yang ditawarkan suspek, kononnya menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau berkata mangsa yang tertarik kemudiannya menyertai program pelaburan itu dan membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
"Pada peringkat awal, mangsa ada menerima sedikit keuntungan, namun selepas beberapa ketika, mereka tidak lagi memperoleh sebarang pulangan. Malah, tidak diketahui sama ada pelaburan tersebut benar-benar wujud atau sebaliknya.
"Kertas siasatan telah dibuka bagi semua kes yang melibatkan sebuah syarikat pembekal mesin layan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan dibuat bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan di bawah jenayah penipuan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengandu untuk mengambil tindakan saman sivil bagi mencabar pelanggaran kontrak perjanjian yang ditandatangani dengan syarikat pelaburan tersebut dan mendapatkan kembali wang yang dilaburkan.
Hussein mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
"Sebarang semakan, nasihat atau aduan boleh disalurkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.
-- BERNAMA