Skip to main content

Malaysia

Polis Selangor tumpas dua sindiket, rampas dadah bernilai RM12.6 juta

SHAH ALAM, 8 Mei -- Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar (tiga, kanan) menunjukkan bungkusan bunga ganja yang dirampas ketika sidang media berkaitan kejayaan anggota polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja dengan nilai rampasan berjumlah RM12.6 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Shazeli (tiga, kanan) menunjukkan bungkusan bunga ganja yang dirampas ketika sidang media berkaitan kejayaan anggota polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan nilai rampasan berjumlah RM12.6 juta hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas bunga ganja seberat 156.7 kilogram (kg) bernilai RM12.6 juta menerusi tiga serbuan berasingan di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang, hujung bulan lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan Sepang bersama polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA itu turut menahan tujuh warga asing iaitu enam lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 27 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada 28 April lepas, polis menahan empat suspek warga asing termasuk seorang wanita selepas pihaknya mengesan empat bagasi mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di terminal KLIA.

“Hasil pemeriksaan menemukan 64 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 67.2 kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.4 juta dan menyita wang tunai RM580, mata wang asing 20 euro (RM91.98) serta seutas jam tangan berjenama Audemars Piguet bernilai kira-kira RM80,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini. 

Bagi sindiket kedua, beliau berkata polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun selepas mengesan dua bagasi mencurigakan di Terminal Satu KLIA ketika melalui mesin imbasan bagasi.

Shazeli berkata pemeriksaan lanjut menemukan 59 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja mampat seberat 29.5 kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM2.4 juta.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang sebelum menahan dua lagi lelaki warga asing berusia 19 dan 25 tahun dan menemukan empat bagasi mengandungi 109 bungkusan plastik berisi bunga ganja mampat seberat 60 kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM4.8 juta,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman antara tujuh hingga 14 hari.

Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah di Malaysia dan dipercayai menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini. 

Selain itu, beliau percaya ada suspek berperanan sebagai keldai dadah berdasarkan upah diterima sebanyak 3,000 euro ke 5,000 euro (RM13,796.40 ke RM22,994) dan 5,000 pound Britain (RM26,546.81) bagi satu perjalanan.

Dalam perkembangan lain, Shazeli berkata kertas siasatan bagi kes ingkar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkait pelaksanaan solat Jumaat dan azan di sebuah surau di Ampang telah dilengkapkan, serta diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Selangor untuk arahan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah mendaftarkan nama seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam isu petisyen azan di Ampang, ke dalam senarai pekeliling khas bagi menghalang individu berkenaan meloloskan diri ke luar negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video