SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan enam sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah menerusi tujuh siri serbuan di beberapa lokasi berasingan antara 19 hingga 26 Ogos lalu, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM31.53 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata operasi itu membawa kepada penahanan 14 individu berusia antara 20 hingga 39 tahun dalam serbuan di beberapa lokasi termasuk Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Segambut, Kuala Lumpur dan Kajang.
Beliau berkata daripada jumlah itu, lima merupakan warga tempatan membabitkan tiga lelaki dan dua wanita, manakala sembilan lagi adalah warga asing terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita.
“Dalam tujuh siri serbuan berkenaan, polis berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif serta mempunyai perancangan tersusun.
“Keseluruhan rampasan dadah yang dibuat dalam operasi ini dianggarkan bernilai RM31.53 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini hari ini.
Antara rampasan terbesar ialah 135.4 kilogram (kg) ketulan mampat disyaki bunga ganja yang ditemukan dalam 214 bungkusan plastik.
Polis turut merampas 117.54kg serbuk disyaki MDMA yang disimpan dalam 2,325 paket plastik, selain 4.94kg pil ekstasi dalam 14 paket dan 1.019kg pil Erimin 5 yang dibungkus menggunakan 320 kepingan aluminium foil.
Shazeli berkata pemeriksaan lanjut turut menemukan 22 botol dan 118 kotak katrij mengandungi cecair disyaki MDMA dengan berat 17.6 gram, selain satu bungkusan plastik berisi serbuk disyaki ketamin seberat 444 gram.
“Lima mesin yang dipercayai digunakan untuk proses pembungkusan dadah turut dirampas dalam operasi tersebut,” katanya.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan dadah yan dirampas itu dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 912,876 individu pada satu-satu masa berdasarkan anggaran penggunaan sebanyak 0.3 gram bagi setiap orang.
Selain bahan terlarang itu, polis turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis, wang tunai RM3,879, empat utas rantai berwarna keemasan serta sebuah beg tangan berjenama Hermes.
“Keseluruhan nilai harta yang disita dalam operasi ini dianggarkan RM172,069,” katanya.
Shazeli berkata daripada 14 suspek yang ditahan, 11 telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi disiasat mengikut LLPK 1985 dan dua suspek dibebaskan.
Semakan rekod lampau pula mendapati hanya seorang suspek lelaki tempatan mempunyai dua rekod kesalahan terdahulu.
Dalam pada itu, pemeriksaan terhadap dokumen perjalanan mendapati lima suspek warga asing melakukan kesalahan berkaitan tempoh pas lawatan sosial, termasuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau overstay.
Shazeli berkata kejayaan berkenaan menunjukkan masih wujud rangkaian pengedaran dadah berskala besar yang bergerak secara aktif dan tersusun, sekali gus berpotensi menimbulkan ancaman terhadap keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
“PDRM Selangor akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menerima tawaran untuk membawa bagasi atau barangan milik individu lain tanpa mengetahui kandungan sebenar barangan berkenaan.
Katanya, tindakan membawa barangan milik pihak lain tanpa membuat pemeriksaan boleh menyebabkan seseorang terjebak sebagai ‘keldai dadah’ dan berdepan tindakan undang-undang yang berat.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran upah lumayan kerana tindakan membawa barangan milik orang lain tanpa mengetahui kandungannya boleh mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius,” katanya.