BUKIT MERTAJAM:Polis telah selesai  mengambil keterangan daripada mangsa keracunan gas karbon monoksida yang terselamat dalam kejadian di sebuah stesen minyak dekat Permatang Pauh, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya telah menemu bual Nor Aqilah Mohd. Safwan, 21, sejurus dia dibenarkan keluar daripada wad di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Berdasarkan keterangan yang diberikan, Nor Aqilah memberitahu pada hari kejadian, dia serta tiga lagi mangsa termasuk kembarnya  berhenti di stesen minyak  tersebut untuk berehat.

Katanya, mereka yang kelaparan sempat membeli makanan di kedai stesen minyak dan makan sebelum kesemuanya tertidur di dalam kenderaan dengan enjin kereta masih hidup manakala cermin tertutup rapat.

Shafee berkata, selepas itu, Nor Aqilah memberitahu sudah tidak mengetahui apa yang berlaku dan hanya tersedar ketika berada di hospital.

Bagaimanapun, Nor Aqilah kini semakin pulih dan boleh menerima hakikat tentang kematian kembar dan rakan-rakannya itu.

BACA: Kes lemas tidur dalam kereta: Mangsa ketiga meninggal dunia

BACA: Kes lemas tidur dalam kereta: Berhenti rehat sebab pening, tidak sihat

BACA: Kenapa bahaya tidur dalam kereta? Ini fakta anda perlu tahu


Pada 16 September lalu, tiga daripada empat pelajar kolej yang sedang menunggu hari konvokesyen meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida setelah mereka tertidur di dalam kereta.

Tiga mangsa yang maut ialah Sharifah Farisha Syed Fathi, Ayuni Shazwani Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan, masing-masing berusia 21 tahun.

Dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 1.40 pagi itu, semua mereka ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan di stesen minyak berkenaan.

Kesemua mangsa dipercayai singgah ke stesen minyak itu untuk berehat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang.