PUTRAJAYA: Polis menyerbu sebuah kedai alat tulis di Taman Seroja, Sepang, semalam yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan bunga api dan mercun serta menahan seorang wanita berusia 33 tahun yang merupakan pemilik premis.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata polis menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di premis berkenaan antaranya 283 kotak "Happy Boom Pili Cracker", 256 kotak "Happy Boom Glories" dan 68 kotak "Happy Boom Thunder Clap" serta merampas barangan berkenaan yang bernilai kira-kira RM60,000 dalam serbuan pada kira-kira 7 malam tadi.

Beliau berkata semakan mendapati premis terbabit tidak memiliki Pol 122 (Lesen Magazin Menyimpan atau Menyimpan dan Berniaga Bahan Letupan) mengikut Peraturan 17 (Magazin Sementara) Peraturan Bahan Letupan 1923 iaitu Permit Menyimpan Bunga Api dan Mercun.

"Premis juga telah melanggar syarat permit yang ditetapkan pihak polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdapat juga bunga api dan mercun yang bersyarat dan tiada kelulusan yang ditemukan di premis berkenaan seperti 192 unit "Happy Boom Shoot Cake", 58 unit "Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeater" dan 33 bungkus "Happy Boom Red Cracker", katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Wanita terbabit akan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis, katanya.

-- BERNAMA