MALAYSIA

Polis serbu rumah penampungan, tahan 22 pendatang tanpa izin

Bernama 08/02/2026 | 13:12 MYT
Tangkapan melibatkan tekong darat, penjaga atau pengurus rumah penampungan serta migran yang cuba keluar dari negara ini. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran dalam serbuan di sebuah rumah penampungan di Taman Bukit Kepayang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata dalam serbuan pada 11.30 malam oleh pasukan daripada Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras itu, sebanyak 22 individu warga Indonesia berusia antara 19 hingga 46 tahun turut ditahan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kediaman berkenaan dijadikan rumah transit bagi pendatang tanpa izin yang menunggu masa untuk diseludup keluar dari Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan dua wanita. Tangkapan melibatkan tekong darat, penjaga atau pengurus rumah penampungan serta migran yang cuba keluar dari negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai aset disyaki digunakan bagi aktiviti jenayah itu termasuk dua kereta jenis Volkswagen Tiguan dan Honda City, tujuh telefon bimbit, sejumlah kunci premis serta alat kawalan jauh.

Azahar berkata siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah menyewa rumah itu dengan kadar RM800 sebulan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum menjadikannya sebagai pusat transit sementara menunggu koordinasi untuk pendatang tanpa izin pulang ke negara asal melalui laluan haram.

Kesemua yang ditahan kini direman selama 28 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-- BERNAMA

#rumah penampungan #pati #warga asing #polis #penyeludupan #migran