MALAYSIA
Polis siasat bunyi letupan, gegaran di Ipoh pagi tadi
Abang Zainal Abidin berkata Ketua Polis Perak akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya menerima maklumat atau laporan mengenai kejadian berkenaan. - Gambar fail
IPOH: Polis sedang menyiasat dakwaan orang ramai mengenai bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar daerah Ipoh pagi tadi.
Ringkasan AI
- Polis sedang menyiasat dakwaan orang ramai mengenai bunyi letupan dan gegaran yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi di beberapa kawasan di Ipoh.
- Penduduk melaporkan bunyi kuat dan gegaran misteri, namun punca kejadian masih belum dikenal pasti.
- Ketua Polis Perak dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya menerima maklumat atau laporan mengenai kejadian berkenaan.
"Kita sedang siasat," katanya ringkas.
Sementara itu, seorang penduduk di Klebang Harmoni dekat sini, Mohammad Danial Nordin, 36, berkata beliau yang secara kebetulan berada di rumah mendengar dengan kuat bunyi letupan berkenaan.
"Saya dengar bunyi seperti ada orang tutup pintu dengan kuat dan berlaku gegaran semasa kejadian.
"Memang misteri sungguh sebab bunyi yang sangat kuat dan berlaku gegaran," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Menurut hantaran dan komen-komen di media sosial, netizen mendakwa berasa gegaran di kawasan mereka termasuk di Chemor, Chepor dan Tanah Hitam kira-kira 10.30 pagi tadi.
Pada 21 Okt tahun lepas, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya itu antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput kira-kira 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di Ipoh sehingga kini masih dikategorikan sebagai misteri, selain polis masih melakukan siasatan terperinci berhubung insiden itu.
-- BERNAMA