[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Polis siasat cubaan anjur program LGBT di Petaling Jaya

Bernama 31/05/2025 | 09:31 MYT
Setakat ini, polis telah menerima 21 laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat cubaan menganjurkan satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipercayai dirancang berlangsung di lokasi tidak diketahui di sekitar Petaling Jaya pada 21 Jun ini.


Ringkasan AI
  • Siasatan terhadap Penganjuran Program: Polis sedang menyiasat cubaan menganjurkan program berkaitan LGBT yang dipercayai dirancang berlangsung pada 21 Jun di lokasi yang belum dikenal pasti.
  • Laporan Bantahan daripada NGO dan Orang Awam: Setakat ini, polis telah menerima 21 laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang membantah program tersebut, melibatkan 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
  • Tindakan Undang-Undang: Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan polis memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang berdegil.


Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya mengesan satu hantaran media sosial dipercayai dimuat naik sayap pemuda sebuah parti politik yang merancang menganjurkan program berkenaan.

Setakat ini, polis menerima 21 laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang membantah program itu, melibatkan 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai program yang disifatkan bertentangan dengan sensitiviti rakyat serta bercanggah dengan undang-undang negara, yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.

Katanya tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang berdegil, mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis akan terus memantau perkembangan ini dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan ketenteraman awam dan mematuhi undang-undang negara," katanya.

- BERNAMA





#Hussein Omar Khan #LGBT #sayap pemuda parti politik #Petaling Jaya #terkini