KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara terbabit semalam dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Advertisement
“Kes disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, apabila disabitkan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 20 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khalid berkata siasatan berhubung kes terbabit masih diteruskan dan menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sementara siasatan dilengkapkan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
-- BERNAMA