Polis siasat dakwaan Konvensyen DAP Perak tidak ikut SOP

Abd Razak Mohd Ali
Mac 14, 2021 15:03 MYT
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihak polis akan menyiasat dari pelbagai sudut, termasuk pelanggaran SOP. - Foto BERNAMA
IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan bahawa Konvensyen DAP Perak, tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihak polis akan menyiasat dari pelbagai sudut, termasuk pelanggaran SOP.
Jelasnya, polis juga akan menyiasat secara menyeluruh perjalanan konvensyen berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) pada Ahad itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya akan memanggil semua pihak yang terlibat untuk tujuan siasatan.
Menurutnya, jika terdapat bukti berlaku pelanggaran SOP, pihak polis akan mengambil tindakan kerana kegagalan penganjur.
Katanya, pihak polis tidak dimaklumkan mengenai majlis itu kerana dikatakan tertutup dengan kehadiran 1,800 orang, berbanding kapasiti sebenar dewan iaitu lebih 4,000 orang.
Pihak polis menghantar pasukan untuk mengawal keadaan apabila mendapat maklumat berlaku kekecohan di pusat konvensyen berkenaan.
Bagaimanapun kata A Asmadi, kekecohan berlaku hanya melibatkan perang mulut sahaja.
#polis perak #PDRM #Konvensyen DAP Perak #dap perak #tidak patuh sop #Mior Faridalathrash Wahid