MALAYSIA

Polis siasat dakwaan pegawai SPRM acu senjata semasa tangkapan

Afiezy Azaman 15/12/2025 | 04:15 MYT
Polis Selangor menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional terhadap dakwaan tersebut.
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan seorang anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata semasa menjalankan operasi tangkapan di daerah Sepang, 28 November lalu.


Ringkasan AI
  • Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan anggota SPRM mengacukan senjata semasa operasi tangkapan di Sepang.
  • Isteri Albert Tei membuat laporan polis susulan kebimbangan mengenai keselamatan suaminya semasa serbuan SPRM.
  • Polis Selangor menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional terhadap dakwaan tersebut.


Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima satu laporan polis daripada seorang wanita berhubung serbuan dan tangkapan terhadap suaminya oleh pasukan penguat kuasa SPRM .

Menurut beliau, tangkapan berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

"Bagaimanapun, wanita terbabit mendakwa semasa operasi tersebut berlangsung, salah seorang anggota SPRM terbabit telah mengacukan senjata ke arah dirinya dan suami.

“Susulan laporan itu, pihak polis telah membuka satu kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, isteri kepada ahli perniagaan, Albert Tei membuat laporan polis susulan kebimbangan mengenai keselamatan suaminya dan menggesa siasatan dijalankan terhadap tindakan beberapa anggota SPRM semasa serbuan itu.

Dalam laporan tersebut, Lee Pei Rie mendakwa salah seorang daripada pegawai SPRM mengacukan pistol ke arahnya semasa serbuan itu dilaksanakan agensi pencegahan rasuah itu di rumah mereka.

Sementara itu, Shazeli menegaskan, siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi memastikan setiap dakwaan dinilai secara menyeluruh dan adil.

"Polis Selangor menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan .

“Tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu atau cuba mengganggu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Pada 4 Disember lalu, Albert Tei didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, terhadap empat tuduhan memberi suapan RM176,829.03 iaitu wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM36,829 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Semua tuduhan yang dikenakan itu adalah berhubung kelulusan bagi mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah.






#SPRM #acu senjata #operasi tangkapan #Albert Tai