MALAYSIA
Polis siasat insiden kibar Jalur Gemilang terbalik di Kepala Batas

Polis sedang menyiasat insiden seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai seperti tular melalui media sosial hari ini.
KEPALA BATAS: Polis sedang menyiasat insiden seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai di sini seperti tular melalui media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata pihaknya dalam proses siasatan awal dengan merakamkan percakapan pengadu dan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
"Pada 12.30 tengah hari ini, pengadu telah terlihat satu hantaran video melalui media sosial Facebook berkenaan kejadian seorang lelaki tempatan sedang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik manakala seorang lagi lelaki sedang merakamkannya.
"Pengadu syak kejadian itu berlaku di kawasan Kepala Batas dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kepala Batas," katanya dalam kenyataan malam ini.Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu tular video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di sini yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik mendapat kecaman warganet.
Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.
Reezal Merican berkata negara mempunyai undang-undang bagi memelihara maruah dan lambang negara, justeru siasatan dan tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan supaya insiden sama tidak berulang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami