BUKIT MERTAJAM: Polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden pergaduhan dipercayai berkaitan hutang membabitkan sekumpulan individu termasuk pengeluar produk kecantikan di hadapan restoran di Taman Sri Mutiara, Bukit Tengah yang videonya tular hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata pihaknya mengesan video itu pada 12.20 tengah hari di media sosial dan berdasarkan siasatan, insiden berlaku pada 12.30 tengah malam tadi.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berlaku apabila mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 30-an didatangi seorang lelaki (suspek) bersama beberapa individu yang memaksanya membuat rakaman melalui telefon bimbit untuk mengaku bahawa mangsa berhutang sejumlah wang dengannya.

"Tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran mulut dan tolak-menolak antara mangsa dengan suspek yang juga lelaki tempatan berusia lewat 20-an," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata mangsa dan suspek telah tampil membuat laporan polis berhubung insiden itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

-- BERNAMA