IPOH: Polis Perak sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian individu melepaskan tembakan ke sebuah rumah di Kawasan Perumahan Sitiawan, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kira-kira jam 1.07 petang, pihak polis Manjung telah menerima panggilan daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu di hadapan rumah rakannya.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan pemilik rumah berkenaan yang tinggal bersama isteri dan dua orang anak.

“Lelaki itu memaklumkan bahawa isterinya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah pada pagi berkenaan, namun tidak mengendahkan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, kira-kira jam 12.45 tengah hari, pengadu telah keluar rumah untuk mengambil barang dan menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang kereta mangsa dan menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mendapati, terdapat kesan lubang pada bahagian cermin belakang kereta mangsa, dipercayai akibat tembakan.

Katanya, polis turut menjumpai satu kelongsong di tempat kejadian, di samping kepala peluru di bonet kereta.

Tambahnya, pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran, mendapati dua suspek lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran.

“Suspek didapati telah melepaskan satu das tembakan dan terkena kenderaan mangsa.

“Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah, namun dipercayai pistolnya gagal berfungsi dan terus melarikan diri,” ujarnya.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Mohd Yusri memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 atau balai polis berhampiran, untuk membantu siasatan.