Polis siasat kumpulan dakwa pewaris Kesultanan Sulu - KPN

Bernama
Mei 30, 2023 08:19 MYT
ACRYL SANI: Tuntutan tersebut merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan polis berhubung tindakan sekumpulan penuntut yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu yang mengemukakan tuntutan melalui notis timbang tara melebihi AS$32 bilion.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan itu dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berikutan tuntutan yang diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019.
"Tuntutan tersebut merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.
"PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124(k) Kanun Keseksaan kerana sabotaj.
"PDRM memandang serius sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam khususnya perbuatan sabotaj terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilan negara serta memberi jaminan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
#Acryl Sani Abdullah Sani #Ketua Polis Negara #pewaris Kesultanan Sulu #notis timbang tara