MALAYSIA

Polis siasat semula kes kehilangan Pastor Koh, Amri Che Mat - Saifuddin

Faida Rahim 13/11/2025 | 05:45 MYT
Saifuddin (foto) berkata pasukan penyiasat itu akan meneliti beberapa laporan termasuk mendapatkan keterangan baharu. -Foto Youtube / Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR: Siasatan semula kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat telah dimulakan oleh pasukan penyiasat khas yang diketuai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP).


Ringkasan AI
  • Siasatan semula kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat dimulakan oleh pasukan penyiasat khas yang diketuai oleh Asisten Komisioner Polis.
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan komitmen kerajaan dalam mencari kebenaran dan menegakkan keadilan, serta menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
  • Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berserta kos kepada isteri Amri dan Koh berjumlah RM3,264,457.52 dan RM37 juta masing-masing berhubung kes kehilangan suami mereka.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pasukan itu akan meneliti semua kertas siasatan terdahulu termasuk laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan pasukan petugas khas, selain mendapatkan keterangan baharu.

“Kerajaan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan komited untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan.

"Pihak polis segera menubuhkan pasukan penyiasat yang diketuai seorang pegawai berpangkat ACP, dan siasatan sudah pun bermula.

“Mereka akan meneliti semua kertas siasatan awal, laporan SUHAKAM dan laporan pasukan petugas khas. Mereka juga akan mendapatkan keterangan baharu.

"Kita mengajak mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan.

"Manakala pihak peguam negara sudah pun membuat kenyataan untuk mengemukakan rayuan. Sebab kita nak kena tengok dalam perkara yang membabitkan misalnya yang mengemukakan rayuan bukanlah satu yang asing,"katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Leadang) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan langkah seterusnya akan diambil kerajaan berhubung keputusan mahkamah terkait Koh dan Amri.

Jumaat lalu, Saifuddin dipetik berkata pihaknya memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan arahan mahkamah dalam kes kehilangan Koh dan Amri, termasuk membuka semula siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata fokus ketika ini adalah kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggariskan dua perkara penting kepada pihak polis, malah beliau sudah mendengar taklimat Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes terbabit.

Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Koh pada 13 Februari 2017.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Siapakah yang mengarahkan siasatan semula kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat?
    A: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengarahkan siasatan semula kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh pihak polis setelah arahan untuk membuka semula siasatan kes tersebut?
    A: Pihak polis segera menubuhkan pasukan penyiasat khas yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP) dan telah memulakan siasatan dengan meneliti kertas siasatan terdahulu serta mendapatkan keterangan baharu.
  • Q: Apakah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat?
    A: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, dan lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew, selepas membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita tersebut terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.



#KDN #Jabatan Peguam Negara #Saifuddin Nasution #Amri Che Mat #Pastor Koh