MALAYSIA
Polis siasat suspek bantu pengganas Lahad Datu
LAHAD DATU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mendedahkan pihak polis telah menahan lebih 50 suspek yang disyaki terlibat membantu pergerakan kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang kini bersembunyi di sekitar Lahad Datu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan apakah mereka itu rakyat tempatan atau pendatang Filipina kerana "boleh mengganggu siasatan."
"Mereka ditangkap untuk tujuan siasatan dan mengesahkan maklumat tertentu yang kita dapat berkenaan pencerobohan," katanya dalam sidang media di Felda Sahabat 16 dekat sini petang tadi.
Jelas Ismail, suspek itu yang terdiri daripada lelaki dan wanita ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Kanun Keseksaan.
Mereka ditahan di sekitar kawasan operasi dan ada juga yang ditahan di luar kawasan di beberapa tempat di serata Sabah.
Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memaklumkan tiada sebarang pertempuran baru berlaku hari ini.
"Kami percaya saki-baki musuh yang ada sedang bersembunyi di tempat tertentu," katanya.
Beliau juga memaklumkan misi memburu pengganas itu menunjukkan perkembangan biarpun agak perlahan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sebelum ini dipetik berkata pasukan keselamatan menahan 79 orang yang disyaki ada kaitan dengan kejadian pencerobohan kumpulan militan di Kampung Tanduo, dekat sini, sejak 12 Feb lepas.
Mereka ditahan di sekitar Sabah, termasuk di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas kerakyatan mereka yang ditahan itu.
"Siasatan masih dijalankan dan hasil soal siasat terhadap mereka telah membawa banyak kejayaan kepada Ops Daulat untuk membanteras penceroboh itu," katanya kepada pemberita di markas sementara di Felda Sahabat 16, di sini hari ini.
Sejak pencerobohan itu, lapan anggota polis terkorban iaitu dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Semporna pada 2 Mac manakala di pihak musuh, seramai 52 orang terbunuh.
Sehingga ini, kumpulan pengganas itu belum menunjukkan tanda-tanda mahu menyerah diri dan letak senjata biarpun selepas kerajaan Malaysia menolak rayuan gencatan senjata bersama.
Sementara itu, Ketua Polis Negara memaklumkan belum menerima sebarang maklumat daripada Wisma Putra mengenai permohonan kerajaan Filipina untuk diberi akses kepada anggota kumpulan waris Kesultanan Sulu yang ditahan.
Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina pada pagi Jumaat mengirimkan permohonan meminta pegawai diplomatnya yang berada di Lahad Datu dibenarkan bertemu dengan 10 pengikut Agbimuddin Kiram yang ditahan oleh pasukan keselamatan dalam Ops Daulat di Kampung Tanduo.