Polis sudah hantar permohonan ekstradisi Sajat kepada Thailand

Hilmi Malik
Oktober 8, 2021 15:00 MYT
Usaha mengekstradisi Nur Sajat bagaimanapun tertakluk kepada proses undang-undang setiap negara terutama bagi negara di mana dia berada. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Polis telah menghantar permohonan kepada Thailand untuk mengekstradisi usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, selain Thailand, pihaknya turut mengemukakan permohonan sama kepada negara ketiga yang dipercayai menjadi destinasi Nur Sajat seterusnya.
Ujarnya, usaha itu bagaimanapun tertakluk kepada proses undang-undang setiap negara terutama bagi negara di mana dia berada.
“Pada masa ini kita sedang menunggu keputusan selanjutnya dari pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga sebelum proses membawa balik Sajat dilakukan.
“Sekiranya tiada masalah, proses membawa pulang Sajat dilaksanakan mengikut saluran undang-undang antarabangsa,” katanya kepada Astro AWANI.
Jenayah | Sajat pegang kad pelarian UNHCR
Sebelum ini, Abd Jalil turut memberitahu, Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.
Pada September lalu, Astro AWANI melaporkan, usahawan kosmetik berkenaan dikatakan mempunyai kad pelarian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi tujuan berpindah ke Australia.
Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 Februari lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.
#Bukit Aman #usahawan kosmetik #Nur Sajat #Datuk Seri Abd Jalil Hasan