NATIONAL
Polis sudah rakam keterangan pegawai SPRM, peguam wanita dipercayai diculik

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya masih menyiasat kes membabitkan wanita berusia 42 tahun itu mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan peguam kepada wanita dikenali sebagai Pamela Ling, yang dipercayai diculik ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada SPRM, 9 April lalu.
Ringkasan AI
- Seorang wanita berusia 42 tahun, Pamela Ling, dipercayai diculik ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April. Polis menerima laporan mengenai kehilangan itu pada hari yang sama.
- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan bahawa beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa telah dirakamkan keterangan untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah).
- Keluarga mangsa memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan tersebut supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa. Mereka juga meminta polis untuk meningkatkan usaha mencari Pamela Ling. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi adik mangsa, Simon Ling Wan Siong, atau bapa mangsa, Ling Kie Yii.
Beliau berkata wanita itu dijadualkan hadir memberi keterangan di SPRM mengenai satu siasatan yang sedang dijalankan dan ketidakhadirannya disahkan oleh pihak SPRM.
"Ini bukan kali pertama Ling hadir ke SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang disiasat oleh suruhanjaya terbabit. Beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa telah dirakamkan keterangan untuk membantu siasatan," katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Rusdi berkata satu laporan polis juga telah dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan berkaitan kehilangan anak guamnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, keluarga mangsa menerusi kenyataan media memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Adik mangsa, Simon Ling Wan Siong berkata kakaknya telah menghantar pesanan WhatsApp kepada peguamnya pada 1.57 tengah hari mengatakan bahawa wanita itu dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dan dijangka tiba pada 2.08 petang dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.
"Walaupun pelbagai cara dilakukan oleh keluarga dan peguamnya untuk menghubungi mangsa selepas 2 petang, panggilan telefon tidak dijawab dan pesanan WhatsApp tidak delivered.
"Grab Malaysia juga mengesahkan bahawa perjalanan terbabit telah ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut yang diperoleh selepas itu," katanya.
Wan Siong berkata sudah lebih 20 hari keberadaan Ling tidak diketahui dan pada masa sama memohon pihak polis untuk meningkatkan usaha serta melakukan apa sahaja yang perlu untuk menjejaki kakaknya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Wan Siong melalui talian 012-8866799 atau bapa mangsa Ling Kie Yii 012-8867979.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami