Sindiket curi motosikal membabitkan kawasan di sekitar Sungai Petani, Kulim, Baling dan Pulau Pinang berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga suspek lelaki anggota Geng Bani, berumur lingkungan 22 hingga 26 tahun, 20 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Saifi Abdul Hamid berkata tangkapan ke atas anggota Geng Bani yang aktif dengan kegiatan curi motosikal sejak tahun lepas itu turut membawa kepada penemuan enam buah motosikal, 17 rangka motosikal serta lima kulit enjin motosikal di Kuala Ketil.

"Bertindak atas maklumat awam, pada 20 Jun lebih kurang pukul 8 malam, anggota polis daripada Team Task Force Lejang membuat serbuan di sebuah kuarters pekerja ladang di Kuala Muda dekat sini dan menahan seorang lelaki berumur 22 tahun, dipercayai anggota Geng Bani, ia seterusnya membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki, masing-masing berumur 25 dan 26 tahun.

"Polis turut merampas enam motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Sungai Petani, Kulim, Baling dan Pulau Pinang, malah sebanyak 17 rangka motosikal dan lima kulit enjin turut dirampas dari sebuah bengkel di Kuala Ketil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, curi motosikal dan samun, malah ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap mereka juga didapati positif dadah jenis morfin dan syabu.

"Polis turut menahan sembilan individu berumur lingkungan 20 hingga 56 tahun, termasuk seorang pemilik bengkel (berusia 56 tahun) yang disyaki membeli dan menjual alat ganti motosikal curi ini...pemilik bengkel ini orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai 15 rekod kesalahan lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan...tempoh reman bagi tiga suspek utama selama 10 hari dan berakhir 30 Jun ini, manakala sembilan lagi suspek direman lima hari sehingga Isnin ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes tikam membabitkan seorang pengawal keselamatan berusia 32 tahun di Tesco Sungai Petani Selatan, kira-kira pukul 8 malam tadi, Saifi berkata polis masih memburu seorang suspek lelaki berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku sewaktu mangsa bertugas di pasar raya berkenaan, selepas melihat kelakuan suspek yang mencurigakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa kemudiannya bertindak sendirian menahan suspek untuk melakukan pemeriksaan.

"Bagaimanapun suspek menikam bahagian kiri bawah perut mangsa menggunakan pisau, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)...mangsa dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Saifi berkata berdasarkan keterangan saksi kejadian, suspek yang memakai jaket berwarna hitam dan seluar celoreng tentera, dipercayai melarikan diri menaiki motosikal jenis SYM Bonus berwarna biru, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.

-- BERNAMA