MALAYSIA

Polis tahan dua lagi lelaki bantu siasatan kes bunuh dua beranak di Juru

Bernama 20/10/2025 | 09:10 MYT
Azizee (gambar kecil) berkata kedua-dua lelaki berusia 40-an itu termasuk seorang warga asing ditahan secara berasingan hari ini. -Foto Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita yang ditemukan maut bersama anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, di sini, pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing bagi membantu siasatan kes pembunuhan wanita dan anak perempuannya di Kampung Sekolah Juru.
  • Kedua-dua suspek akan direman dan siasatan lanjut dijalankan untuk kenal pasti motif serta kemungkinan penglibatan individu lain.
  • Suami mangsa telah ditahan reman sejak Sabtu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kedua-dua lelaki berusia 40-an itu termasuk seorang warga asing ditahan secara berasingan di sini hari ini.

"Polis akan membawa kedua-duanya ke mahkamah esok untuk proses reman dan kita percaya mereka dapat membantu siasatan kes berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Azizee berkata polis juga sedang mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kes pembunuhan dua beranak berkenaan dengan siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk bagi mengetahui motif.

Media pada Sabtu melaporkan mayat wanita dan anak perempuannya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.

Azizee dilaporkan berkata mayat wanita berusia 51 tahun yang merupakan peniaga kuih dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan reman suami wanita terbabit yang berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Okt bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA






#Seksyen 302 Kanun Keseksaan #kes bunuh dua beranak #kampung sekolah juru #Polis tahan dua lagi lelaki #pembunuhan wanita dan anak perempuan