Polis tahan dua lelaki didakwa hina MB Kedah

Bernama
Ogos 10, 2021 05:06 MYT
Polis berkata, kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menerusi laman media sosial Facebook, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata kedua-duanya yang berusia 52 dan 45 tahun ditahan di rumah mereka di Kepala Batas dan Mergong Perdana di sini pada 5.15 dan 6 petang semalam.
"Seorang Pegawai Khas Menteri Besar Kedah telah membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada sekitar 10.30 pagi semalam ekoran komen negatif dan jelek oleh dua individu itu di Facebook milik Menteri Besar Kedah.
"Seorang daripadanya adalah pekerja swasta dan seorang lagi peniaga. Kedua-duanya yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dibebaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA: Warga emas aibkan MB Kedah di Facebook ditahan polis
Katanya kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
-- BERNAMA
#Muhammad Sanusi Md Nor #media sosial #Kedah #Facebook #peniaga #warga emas #Ahmad Shukri Mat Akhir #Kota Setar #polis #kata-kata kesat #Kepala Batas #Alor Setar #hina MB Kedah