MALAYSIA
Polis tahan dua rakyat China disyaki ceroboh kawasan larangan
Polis menahan dua warga China yang disyaki menceroboh kawasan sebuah bangunan pasukan keselamatan yang merupakan kawasan larangan, pada 6 Ogos lepas. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua warga China yang disyaki menceroboh kawasan sebuah bangunan pasukan keselamatan yang merupakan kawasan larangan di sini, pada 6 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohammad Lazim Ismail berkata dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 27 tahun itu ditahan ketika sedang menerbangkan dron di padang bola berhampiran bangunan terbabit.
Beliau berkata dua individu terbabit ditahan oleh anggota keselamatan sebelum diserahkan kepada pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.
"Beberapa peralatan seperti dron serta beberapa keping kad memori turut dirampas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mohammad Lazim berkata dua individu terbabit mendakwa rakaman dron tersebut dibuat atas arahan majikan mereka namun tidak mengetahui motif dan tujuan rakaman itu.
Katanya, semakan mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata kedua-dua individu itu telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam di bawah Seksyen 3(a) dan Seksyen 4 Akta Rahsia Rasmi kerana mengintip dan melakukan dokumentasi di dalam kawasan larangan.
Kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin dan Hakim Izralizam Sanusi tidak membenarkan ikat jamin serta menetapkan 11 Sept ini untuk pelantikan peguam dan serahan dokumen.
-- BERNAMA