SUNGAI BULOH: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket mengedar dadah selepas menahan lima individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM176,600 dalam tiga serbuan berasingan di Selangor dan Lembah Klang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata semua suspek yang berumur lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan dalam operasi empat hari sejak hujung minggu lepas, dan polis turut merampas 9.2 kilogram ganja, 3.5 liter cecair kodien dan 8,900 biji pil Erimin 5 daripada empat lelaki dan seorang wanita itu, semuanya bernilai RM176,600.

Dalam serbuan pertama di Sabak Bernam pada pukul 3 petang Ahad, polis menahan seorang buruh kerana disyaki mengedar dadah dan merampas 8,727 biji pil Erimin 5 dianggar bernilai RM145,000.

"Suspek memiliki lima rekod kesalahan lampau dadah dan dua daripadanya berstatus dikehendaki, sementara hasil ujian saringan air kencing turut menunjukkan dia positif methamphetamine," katanya pada sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Beliau berkata dua hari lepas pula pada pukul 10.30 malam polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki sebuah kereta Perodua Axia di Subang Jaya dan merampas satu ketulan mampat disyaki ganja seberat 1 kilogram, 100 biji pil Erimin 5 dan enam botol cecair kodein 1.5 liter yang ditemukan dalam kenderaan itu.

"Hasil soal siasat ke atas pasangan itu, polis telah pergi ke sebuah rumah di Seri Kembangan pada hari sama dan menahan dua lagi lelaki serta turut merampas 31 paket ketulan dan leraian ganja seberat 8.2 kilogram, 73 biji pil Erimin 5 dan sebotol cecair kodein 2 liter.

"Semakan mendapati salah seorang daripada empat suspek berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan lampau dadah manakala dua suspek lagi positif dadah jenis THC menerusi ujian saringan awal air kencing," katanya.

"Polis turut menyita sebuah motosikal jenis Honda RS 150R dan sebuah iPad Apple bernilai RM4,000 untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang mengedar di sekitar Lembah Klang itu direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkap masing-masing dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Hussein berkata orang ramai dijemput untuk bersama menyertai Hari Bertemu Pelanggan dengan tema 'Polis Sedia Mendengar' Sabtu ini.

"Program yang julung kali diadakan bersempena dengan Hari Polis ke-217 itu dibuat secara serentak di semua Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh Kontinjen Selangor.

"Orang ramai bagaimanapun diminta menghantar email yang tertera pada hantaran laman Facebook 'Polis Selangor' terlebih dahulu dengan melampirkan isu atau perkara berbangkit sebelum hadir ke program terbabit yang diadakan bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari," katanya.

-- BERNAMA