NATIONAL
Polis tahan enam individu gaduh dan tetak

Wan Hassan berkata, kesemua suspek ditahan menerusi tiga tangkapan berasingan. - Gambar fail/BERNAMA
KULIM: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan dan menetak seorang lelaki di Kulim.
Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan menerusi tiga tangkapan berasingan.
Beliau berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim telah melancarkan ‘Op Cantas’ dan berjaya menahan dua lelaki di hadapan sebuah kilang pada jam 5 petang Khamis.
Katanya, hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek berusia 28 dan 30 tahun yang bekerja sebagai kontarktor itu mempunyai empat dan lima rekod jenayah lampau."Sejam kemudian, tiga lagi suspek berusia 28 hingga 33 tahun berjaya ditahan ketika melalui jalan berhampiran Balai Polis Padang Serai.
"Pemeriksaan lanjut mendapati tiga suspek terbabit mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau bersabit jenayah dan dadah.
“Ada diantara suspek pernah ditangkap dan dihukum,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut Wan Hassan, seorang lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Kongsi 14, Sungai Petani pada jam 9 malam hari yang sama.
Katanya, suspek berusia 39 tahun itu didapati tidak bekerja dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Beliau memaklumkan polis kini masih mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Wan Hassan berkata, mangsa mengalami kecederaan parah akibat tetakan di perut dan kedua-dua lengan kini berada di Zon Merah Hospital Kulim.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami