Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja lelaki yang maut dibelasah sekumpulan lelaki di Lebuh Carnovan, Georgetown.

Keenam-enam lelaki berkenaan dibawa ke mahkamah dan ditahan reman sehingga 28 Januari.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah premis mencuci kenderaan, tempat mangsa bekerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam semalam, mangsa, Muneeswaran, 16, seorang yatim piatu ditemui mati dengan kesan lebam dan berbirat di seluruh badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Datuk Mazlan Kesah berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati majikannya terhadap mangsa yang dikatakan telah mencuri sesuatu di premis tersebut.

“Kita percaya dia telah dipukul dan kita telah temui di tempat kejadian segulung wayar berukuran lebih kurang tiga kaki. Dipercayai mangsa telah dipukul menggunakan wayar itu," kata Mazlan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.